Pages

Monday, 1 November 2010

ECC Burung Hantu Jamboree 2010 - 30.10.2010

Aku pergi, aku kayuh, aku habiskan kayuhan dalam pukul 12 malam, pengayuh ke 458 sampai ke garisan penamat, tak dapat apa-apa untuk cabutan bertuah, dan AKU PUAS.
 
Itulah cerita pendeknya. Sedikit lebih terperincinya (tapi tak berapa sangat pun), kat bawah ni. Gambar pun tak ada.
 
Petang tu hujan, bawak ke maghrib masih renyai-renyai. Hah! memang 'enak' lah tu berkayuh pada malamnya. Akan ada lumpur, dan kebarangkalian kayuhan terganggu disebabkannya memang tinggi. Terimbau episod kayuhan KLMTB Epic Hash yang lalu. Getus hati mengharapkan tak begitu, dan ternyata ia berbeza.
 
Kali ini aku kayuh dengan optimis. Aku nak nikmati setiap detik dan setiap kayuhan. Pada masa yang sama, aku nak kayuh laju dan sepantas mampu. Eh, sudah berapa lama punya training, kan...
:)
 
Aku mulakan kayuhan dengan Panjang, Yad dan Hafiz (member Yad). Ikut gerombolan, dan kayuh laju menghirup udara nyaman atas jalan tar. Sebelum masuk turun offroad, aku berhenti di tepi jalan mengetatkan faceplate pada stem yang longgar. Si Panjang dan Yad pantas aje mengayuh masuk offroad meninggalkan aku. Keselamatan harus dijaga, maka aku tak hirau masa yang terbazir.
 
Offroad menghidang lecak dan lumpur, hasil dari hujan siang tadi. Masing-masing berkayuh licin dengan dua biji donut melungsur malam. Sepanjang kayuhan, mahu tak mahu, keadaan trek yang licin dan tayar donut memang lumrah. Kalau patah hati, memang menyumpah kerana sepanjang 5 checkpoint dan 45 km sentiasa ada keadaan itu. Tekad hati, aku terima keadaan dan mencuba yang terbaik. Memang aku beri yang terbaik. Maka kayuhan aku terasa puas.
 
Hanya sekali aje aku turun dari basikal dan buang lumpur yang melekat pada FD. Itu aje, malas aku nak bersihkan sangat, pasal aku jangka memang akan berulang lagi sepanjang kayuhan. Ubatnya: berkayuh sepantas mungkin dan biarkan momentum pusingan roda membuang lumpur terlekat. Untuk lain kali, harus dipasang fender untuk tayar depan. Ada sekali tu aku dok terkenyit-kenyit mata kiri dek pasir yang masuk ke mata.
 
Aku cuba kayuh sepantas mungkin, sebab kalau nak nikmati hidangan pancaindera pun, tak berapa dapat sangat. Cuma dingin hutan waktu malam yang aku rasa, dan lumpur menyelaput kulit yang terdedah. Tapi, pada satu lapangan tu aku terhenti, bila aku ternampak bintang di langit. Shahriman menegur sambil dia teruskan berkayuh. "Dah lama tak tengok bintang", aku jawab pendek. Aku biarkan pengayuh yang di hadapan hilang, dan kebetulan untuk masa yang panjang tiada pengayuh di belakang. Aku keseorangan, dan mendongak menikmati hidangan bintang bertaburan di langit malam.
 
Betul, memang lama dah tak tengok bintang. Aku lupakan sekejap 'berkayuh sepantas boleh', dan 'berburung hantu' sebentar. Lama juga tak berburung hantu. Dah 20 tahun jugak lah.
 
Kalau ikutkan takrif Burung Hantu di kalangan geng-geng JBS WP dan Pelapis KSKL dulu, cenggini:
Selalunya masa berkhemah, lepas tengah malam, kami akan berjalan menyusur denai. Selepas agak jauh dari tapak perkhemahan dan suasana sunyi sepi, Penghulu fasilitator akan meletakkan seorang demi seorang di sepanjang denai. Jarak di antara individu agak jauh, kira-kira 5 minit berjalan. Lepas dah tinggal kat port masing-masing, dibiarkan lama, barang sejam dua. Objektif Burung Hantu ada banyak. Yang utamanya untuk mengenal diri, berani tak berani. Jugak, dengan sunyi malam tu mudah untuk muhasabah diri. Tapi biasanya kecuakan tidak memungkinkan untuk itu lah. Lagi satu untuk tengok samada jujur atau tidak. Jugak, kecuakan akan buatkan ramai yang berjalan dalam gelap mencari kawan di depan atau di belakang.
;)
 
Kalau nak cerita bab Burung Hantu ni, panjang lagi. Tidak di sini. Kita teruskan cerita pasal kayuhan haritu ye...
 
Taklah lama sangat aku tengok bintang. Rasa nak aje berbaring di tepi dan kira bintang, tapi mana boleh. Kang badan dah sejuk, degup jantung pada kadar berehat, jadi malas pulak nak berkayuh kang.
 
Kayuh, kayuh, kayuh, tiba-tiba sampai checkpoint. Minum 2-3 teguk air, makan sebijik pisang. Ulang lagi, sampai habis kat garis mula/penamat. Aku sampai garis tamat, ambik lucky dip dapat lah bottle cage (nak beli? aku jual...).
 
Kayuhannya taklah 100% offroad, mungkin 75% aje kot. Banyak juga atas jalan tar. Tak terlalu teknikal, cuma dek selut dan longkangan yang dibelasah oleh pengayuh di depan memerlukan penumpuan. Nak kayuh perlahan, jawabnya gedebab lah. Nak kayuh laju, harus ada fokus. Dan set lampu yang baik.
 
Disebabkan kayuhannya di waktu malam, maka kurang rasa haus dan penat dek panas matahari tak menjadi isu. Sesuai untuk aku. Rasa menyesal pulak berbekal air kosong dalam botol air pada kerangka basikal. Di checkpoint 5 aku buang air tu, dan kurangkan berat 750 gram. Nak minum pun, tak lalu dek lumpur yang melekat. Lagipun air mineral sentiasa ada di setiap checkpoint.
 
Dari checkpoint 5 ke garis tamat harus berkayuh atas tar. Aku pecut selaju boleh, demi mengejar Dino yang tinggalkan aku masa aku dok sibuk dengan air tadi. Punya lah laju, tak nampak kelibat walaupun aku tak berehat dari memecut sepanjang tu. Aku sampai pukul 12:12 minit (ikut jam aku lah), dan dapat medal dengan pelekat hijau nombor 458. Ok lah tu, top 460 riders.
:D
 
Basikal punya lah kotor, memang harus basuh. Terjumpa si Ben budak JB, dia tunjuk kat aku tandas tempat dia basuh basikal. Ramai jugak dah beratur situ. Aku pun turut beratur lah, Yad pun ada. Ada dalam sejam juga tu, sebelum giliran aku menyental bersih selut dan lumpur dari basikal. Dah beratur punya lama, takkan basuh ala kadar aje ye tak?
 
Habis basuh, penganjur tengah baca nombor untuk cabutan bertuah dalam gelap. Menarik juga hadiah, besar-besar. Yang aku ingat, ada bike rack Thule, XT groupset, complete bike Raleigh (hardtail, fullsus). Satu pun tak mengena kat aku. Takpelah, kalau dapat pun, benda tu ada yang aku dah ada, ada yang aku tak boleh nak gunakan. Nanti jadi tamak aje. Cheh! Kunun...
 
Secara keseluruhannya, aku memang enjoy dengan jamboree ni. Pilihan trail adalah bagus - open, tak terlalu teknikal (dah malam, nak buat teknikal memang tak sesuai pun), 95% boleh dikayuh, bukit tak mencanak dan bersiri, pengayuh pun sporting, pengurusan checkpoint mantap, trail marking bagus (aku tak ada tersilap arah), plet untuk nombor peserta berkualiti, parkir kenderaan banyak, dan banyak lagi yang boleh dan patut dipuji. Syabas untuk semua pengayuh dan terutamanya pada ECC untuk Nite Jamboree 2010 ni.

3 comments:

  1. Akmal..thanks bro..glad you enjoyed the mud hahahaa..
    well done..C U in plentong insya'Allah..

    warhead

    ReplyDelete
  2. en_me,
    Thanks. Biasa2 aje...

    Warhead,
    Ahaa... yes, Ayer Keroh's mud are somewhat different from other places. Scary at times, but enjoyable once gone through it.
    :)
    See ya in Plentong, bro!

    ReplyDelete