akmal's bike park

akmal's bike park

Thursday 1 April 2010

Mahalnya!

Masa aku dah start boleh kayuh basikal waktu kecik-kecik dulu, waktu tu zaman BMX tengah popular. Tak terdaya nak beli basikal sendiri, sebab harga $200 (masih guna simbol $, Anwar Ibrahim belum tukar jadikan RM) untuk BMX Skyway bagi seorang budak darjah tiga masa tu amatlah besar. Berapa banyak Lego boleh dibeli tu.

Kenapa Skyway? Entah, mungkin sebab keratan rentas batang kerangka dia bentuk 'diamond' agaknya. Sakit punggung kalau tumpang duduk membonceng dengan kawan (harapnya orang takkan tumpang duduk). Agak unik juga lah, bentuk batang kerangka sebegitu. Apa kelass kalau batang kerangka jenis bulat, kan.

Kira-kira kalau kumpul seposen sehari, maunya ambil masa 5.5 tahun nak kumpul. Boleh la, seposen dari lima posen duit belanja harian. Ikat perut siket. Tapi itu kalau masuk Sabtu & Ahad, cuti umum dan cuti sekolah; mana ada dapat duit belanja sekolah pada hari tak sekolah, kan. Duit raya pulak masuk tabung. Jadi, senang cerita, lima posen sehari digunakan sepenuhnya di kantin sekolah.
:P

Namun itu tak bererti kita tak boleh berangan. Maka aku pergi lah jugak jenguk-jenguk antara kedai basikal tersohor kat KL masa tu, Kedai Basikal Sum Ming. Kedainya masa tu kat Jalan Tuanku Abdul Rahman, kat belah belah panggung Coliseum. Sum Ming ni siap ada team BMX, bukan calang-calang juga. Kalau diorang masuk race Hari Wilayah kat Taman Tasik Titiwangsa, memang ada aje lah rider team lain yang makan pasir (BMX takde asap. Pasir? Err... pasir trek).

Terkejut aku tengok, kat dalam kotak tersergam kemas crankset Shimano untuk basikal racing (sekarang-sekarang ni orang panggil 'road bike') dengan harga selamba $250. Mak aii... harga barang aje dah lebih dari harga basikal idaman. Masa tu, Shimano aje lah brand yang up siket, yang kitorang tahu.

Tapi itu dulu... masa aku tak berapa faham tentang prestasi. Dah budak-budak kan, asal dapat kayuh aje dah kira sedap la tu. Tambah pulak bila tak ada basikal sendiri. Dan masa tu minda pun masih budak-budak lagi, belum disogokkan dengan ini:
Keith Bontrager kata "Strong, Light, Cheap... pick 2".

Maknanya, kalau nak basikal yang kuat dan ringan, tak murah. Kalau nak basikal murah dan ringan, tak kuat. Macam basikal-basikal kat Giant tu lah. Err... Giant supermarket, bukan brand Giant. Kalau nak basikal yang murah dan kuat, tak ringan lah. Ada betulnya, dan aku tambah lagi: kelancaran mekanikal, cantik, bergaya, dan (mungkin) tahan lama.
nota: basikal kat supermarket biasanya berat, tak kuat dan murah.

Lepas tu, masa aku makin membesar dan membaca lebih sikit dari waktu budak-budak, ada terjumpa kata-kata dari Confucius:
"Cheap thing no good, good thing no cheap".

Tentunya Confucius tak berkata-kata dalam Bahasa Inggeris, tapi kita fahamlah kan maksudnya tu. Kalau aku letak kata-kata tu dalam bahasa Cina, aku pun tak faham juga. Lagipun nampak macam cantik siket bila letak dalam Bahasa Inggeris dengan telo Cina.
:)

Lepas tu pulak aku belajar lagi, dalam kejuruteraan. Adalah sikit-sikit belajar pasal rekacipta, pembuatan, dan sebagainya. Maka fahamlah sikit sebanyak tentang prosesnya. Agak rumit dan perlukan masa yang lama. Kalau masa itu emas, maka kos untuk keluarkan produk yang bagus agak tinggi. Kalau nak masa yang singkat, senang aje. Beli masa. Maknanya, tambahlah pekerja. Natijahnya, memang kena keluarkan kos yang tinggi. Tambah pulak untuk produk yang inovatif dan pioneer.

Jadi sekarang ni aku dah faham tentang mengapa harga crankset tu macam tu (dan jugak mengapa kedai basikal jual kerangka sahaja; tapi itu untuk cerita di lain hari). Aku jugak dah pernah naik basikal yang murah dilengkapi komponen yang 'asal boleh'. Rasanya memang berbeza. Dan itulah yang kita bayar.

Orang putih-putih (kata abang aku) ada berkata-kata: "You get what you pay for".


Sekarang-sekarang ni kalau ada antara kawan-kawan aku yang tersenyum sinis bila aku kata basikal aku harga RMxxxx (empat digit tu), aku pun turut senyum juga lah. Kalau diorang nak tanya kenapa mahal macam tu, aku sedia huraikan. Kalau diorang nak bandingkan harga basikal aku dengan harga motor, silakan. Tapi tak logik lah kalau basikal yang jauh lebih bagus daripada basikal kat supermaket dibandingkan dengan kapcai aje kan. Kurang-kurang pun, taraf Ninja jugak tu.

Walaubagaimanapun, jom Ahad ni bawak masuk kapcai kau; kita layan offroad kat Plentong.

4 comments:

jafa @ the panjang said...

haha..
bro, aku tgk gaya penulisan ada berubah sikit.. dah mcm stail mcm dlm majalah gila2.. haha.. ada influence ke?

ape pon.. i likkeee....

akmalhizam said...

hehe...
ni Pipiyapong punya influence la ni.
:D

BC Kelolo said...

Satira...satira. Tak ada kena mengena dengan sate dara.

Genre humor tapi sinis. Memang Gila Gila antara pelopor genre ini...Aku dah lama tak beli, pegang, baca Gila-Gila.

Errr...ini blog basikal atau blog sastera. Tersalah ambik berm ka tadi?

akmalhizam said...

BC: masih blog basikal. dalam mode blosikaltera.

Inche Panjang pembaca tegar Gila-Gila. Sama jugak, dah lama tak baca. Dulu (masa harga $1.50), pakat tong-tong 75 sen sorang dengan Abang beli tiap keluaran.

...dan Ayah tumpang baca.
:D